Seringkali kita mendengar, melihat dan membaca surat khabar, majalah atau t.v yang memaparkan remaja perempuan buang bayi di masjid, longkang dan tong sampah sama ada bayi tersebut sudah meninggal dunia atau masih hidup. Ia seakan-akan perkara biasa dalam masyarakat kita walaupun majoritinya adalah beragama Islam. Baru-baru ini, satu serbuan telah dilakukan ke atas pesta seks yang diadakan untuk menyambut tahun baru 2009. Malah, seorang penyampai berita dan aeorang pelakon wanita telah ditahan ketika serbuan. Mengapa akhlak selebriti ini buruk sangat?? Mereka boleh dianggap idola remaja tetapi teramat buruk akhlaknya dan tidak hairanlah ramai remaja terlibat dalam gejala buruk dan hina ini.
Kita umumnya sudah tahu, menurut hukum Islam, mana-mana perempuan dan lelaki penzina akan dihukum rejam sampai mati untuk lelaki atau perempuan penzina yang sudah berkahwin, dan lelaki dan wanita penzina yang belum berkahwin akan disebat 100 kali dan boleh dibuang negeri selama satu tahun. Ini semua adalah sebahagian daripada hak Allah yang telah ditetapkan dalam Al-Quran yang hukumnya tidak boleh dipinda. Berlainan pula di negara kita sekarang, kita tidak boleh melaksanakan hukuman ini kerana undang-undang Islam terhad hukumannya dalam peruntukan mahkamah yang juga bermaksud tidak boleh dilaksanakan hukuman ini. Maka, kerajaan perlu mengambil berat atas isu ini. Jika hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah, Maha Mengetahui Segala Sesuatu tidak boleh dilaksanakan, beratkanlah hukuman yang sedia ada untuk menyedarkan umat Islam menjaga amanah yang diberikan.
Kerajaan seharusnya mengisytiharkan gejala ini sebagai musuh negara nombor satu Malaysia. Kerajaan juga perlu memberikan banyak peruntukan kepada rumah-rumah kebajikan dan pemulihan untuk para remaja yang terlanjur seperti di Rahdatus Sakinah. Kerajaan juga bertanggungjawab menyekat mana-mana laman web lucah daripada masuk dalam negara. Adakah ini tidak mampu dilakukan oleh kerajaan? Jika kerajaan bercadang untuk menapis blog-blog politik, apa salahnya kerajaan juga menapis sekali kandungan lucah?
Masa depan negara terletak di tangan kita dan para belia dan pihak kerajaan sendiri. Jika kerajaan masih berdiam diri, rakyat dan remaja sendiri akan menyangka kerajaan tidak menjalankan tugas yang sewajarnya. Oleh itu, saya berharap agar kerajaan mengambil bahagian terhadap isu ini.
No comments:
Post a Comment